Thursday, April 22, 2010

Kalau Nak Jadi Wakil Rakyat

Kalau nak jadi wakil rakyat,
Masuk bertanding berebut tempat,
Waktu berkempen dekati masyarakat;
Tak duduk rumah tak duduk pejabat.

Kalau belum dapat wakil rakyat,
Baik sangat macam malaikat;
Kaki sakit datang bertongkat,
Tiada yang cacat semuanya hebat.

Kalau nak kerja wakil rakyat,
Semua tempat mesti dilawat,
Tak kira waktu tak kira saat,
Janji dibuat dikota tak larat.

Kalau dah jadi wakil rakyat,
Dapat gelaran Yang Berhormat;
Sebok memanjang dengan mesyuarat,
Sampai tak sempat datang melawat.

Kalau nak tau wakil rakyat,
Dengan rakyat mesti rapat;
Semua orang jadi sahabat,
Pantang jumpa mesti berjabat.

Kalau nak kenal wakil rakyat,
Masalah rakyat diambil berat;
Tak perlu dijemput dengan surat,
Dengar aduan datang cepat.

Kalau nak jumpa wakil rakyat,
Susah sangat nak nampak kelibat,
Semua laluan kena sekat,
Rasa terkilan tak tercapai hasrat.

Kalau dah jumpa wakil rakyat,
Sampaikan semua apa dihajat;
Kocek YB tentu tak larat,
Minta bantuan orang korporat.

Kalau nak rapat dengan wakil rakyat,
Ikut saja ke merata tempat;
Apa disuruh cepat dibuat,
Perkara jahat segera bertaubat.

Kalau dulu wakil rakyat,
Bulan puasa melancong ke barat;
Di sana semua boleh dapat,
Tak ada manusia boleh melihat.

Kalau elok wakil rakil rakyat,
Banyak beramal kuat beribadat;
Segala kerja menjadi berkat,
Senang di dunia bahagia di akhirat.

Kalau tak dapat jadi wakil rakyat,
Jangan derhaka macam Hang Jebat;
Sampai ada berpaling kiblat,
Dulu musuh ketat kini kawan rapat.

Kalau dah tak jadi wakil rakyat,
Jadi lembaga pengarah syarikat;
Pencen dapat elaun berkebat,
Sampai terlupa tak lagi Yang Berhormat.

Kalau berseloka wakil rakyat,
Tersurat sindiran tersirat nasihat;
Janganlah YB cepat nak bersilat,
Sesama kita ingat mengingat.


Jmnasira
IPTHO